Bila kita bercakap tentang perempuan, gadis, wanita, satu perkara yang selalu terlintas dalam benakku ialah Tudung. Seorang sahabatku pernah mengadu tentang larangan bertudung daripada majikan yang kebanyakannya “bukan Islam” ketika dia bekerja di sekitar Bandar Tawau. Malah didapati beberapa orang kawanku yang dahulunya bertudung kini tidak bertudung atas desakan hidup dan kepayahan mencari pekerjaan.
Mana letaknya maruah agama kita bila mereka yang bergelar majikan atau bos dengan sewenang-wenangnya boleh melarang pekerjanya dari memakai tudung. Tidak kiralah apa pekerjaan tersebut selagi ianya halal, perhotelan ,runcit atau kerani di pejabat sekalipun adalah tidak patut larangan ini dibuat.
Ianya bukan perkara yang baru tetapi masyarakat memandang sepi akan isu ni. Seolah tiada apa apa yang berlaku. Ini baru persoalan yang mudah, isu tudung. Belum kunilai dari keseluruhan aspek yakni menutup aurat sebab bertudung saja tak semestinya menutup aurat. Ada garis panduan yang ditetapkan dalam agama kita.
Itu soal majikan, diri seorang perempuan tu juga kena ada sikap mempertahankan prinsip sebagai contoh sanggup dibuang kerja kerana disuruh buka tudung. Jikalau diri seorang perempuan itu faham benar benar akan perintah Allah tersebut maka tiada “second thought” kerana baginya
meninggalkan apa yang di larang Allah lebih penting dari wang ringgit walau sebanyak mana pun yang ditawarkan di dunia ini.
Isu tudung pada hakikatnya tidak sepatutnya menjadi polemik masyarakat umat Islam yang tidak berkesudahan. Isu ini bukanlah isu etika berpakaian sehingga ia harus dipertimbangkan sama ada perlu atau tidak, sesuai atau tidak kepada masyarakat kita atau bila dan di mana ia wajar dipakai. Isu ini bukanlah isu yang boleh diperdebatkan atau dibincangkan dalam mencari kaedah perlaksanaan yang terbaik, atau samada ia harus diwajibkan atau tidak. Isu tudung adalah isu yang menyangkut soal hukum syara’ dan kedaulatannya. Oleh yang demikian, umat Islam wajib memartabatkan hukum syara’ dan wajib terikat di setiap masa dan detik tanpa menilai pangkat mahupun kedudukan. Inilah hakikat pemakaian tudung.
Tudung telah diWAJIBkan oleh Allah dalam firmanNya yang amat jelas:
“…Dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada…” [TMQ an-Nur:31]
Kehendak ayat ini adalah jelas. Allah tidak menerangkan lebih lanjut tentang maksud ayat ini dan tidak terdapat hadis qauli (ucapan Nabi) yang sahih tentangnya. Namun begitu, hadis iqrari (perakuan Nabi) yang sahih tentangnya amat banyak sekali, Ini merupakan hadis berbentuk perakuan Nabi terhadap para sahabat wanita yang semuanya bertudung setelah turun ayat tersebut. Di antaranya adalah:
Yang pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah radhiAllahu ’anha:
"Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya."
Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah binti Shaybah katanya:
"Ketika kami bersama ‘Aisha r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: "Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka."
Jelas sekali, apabila perintah kewajiban memakai tudung diturunkan, kaum wanita Islam zaman awal tidak mempersoalkan sama ada boleh atau tidak, sesuai atau tidak, bila dan di mana dan tidak pula meminta para cendekiawan atau pemimpin mereka membincangkan soal pemakaian tudung; namun mereka bergegas menyambut perintah tersebut dengan mengoyakkan sebahagian kain sarung mereka untuk menutup kepala dan dada. Mereka melakukannya kerana menginginkan keredhaan Allah semata-mata dan bukan kerana ingin mendapatkan keredhaan manusia atas nama ‘glamour’, peraturan sekolah, undang-undang tempat kerja, periuk nasi, tidak sampai ‘seru’, pakaian ‘taqwa’ lebih baik atau pelbagai lagi alasan yang tidak masuk akal. Golongan wanita Muslim awal seperti inilah sepatutnya dijadikan contoh dan teladan kepada kaum wanita zaman kini untuk segera melaksanakan perintah pemakaian tudung, sekiranya merasakan diri merupakan wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala
Perintah Agama atau Kenyataan Politik?
Jelasnya, tudung adalah kewajiban agama yang penting. Kewajiban ini dihasilkan secara langsung dari sumber-sumber Islam dan bukan merupakan hasil kenyataan politik terkini umat Islam. Hukum tudung telah ditetapkan oleh ulama salaf yang membentangkan keperluannya seribu tahun sebelum fenomena kebangkitan semula Islam. Hari ini , tudung telah menjadi isu kontroversi umat dan ahli politik; oleh itu, motivasi luhur yang menyangkut soal pemakaian tudung bagi menutup aurat hendaklah lahir hanya dari perasaan/ruh Islam dan bukan yang lain. Tambahan pula, pemakaian tudung yang tidak diasaskan kepada rasa tanggungjawab untuk menegakkan hukum syara’ dan mendapat keredhaan Allah tidaklah bermakna di sisiNya. Ini adalah kerana motivasi menutup aurat seperti ini masih tidak dikaitkan kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pahala dan keredhaan Allah hanya akan diperoleh ketika melakukan sesuatu kewajiban semata-mata keranaNya dan bukan atas alasan yang lain.
Pemakaian tudung adalah suatu kewajiban syara’. Ia bukanlah isu yang terkait dengan pilihan peribadi. Tanggapan bahawa adalah salah menghukum seseorang kerana ia tidak memakai tudung merupakan suatu tanggapan yang terpesong. Tudung juga tidak boleh dianggap sebagai adat budaya orang Melayu. Bagi umat Islam di Malaysia, pendidikan mengenai tudung, hakikat syara’nya dan cara pemakaiannya yang betul hendaklah diperhebatkan. Ini adalah perlu kerana ramai di antara kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia tidak difahamkan dengan jelas, sama ada oleh individu-individu di sekelilingnya, masyarakat, keluarga mahupun pemerintah tentang kewajiban mengenakan tudung dan pakaian menutup aurat yang sah di sisi syara’. Dengan pemahaman ini, masyarakat akan lebih peka mengenai aturan syara’ dalam penutupan aurat. Seterusnya, ini akan menimbulkan kepekaan yang amat tinggi di dalam masyarakat; tegur menegur atas kebaikan, khususnya di dalam isu pemakaian tudung dan busana Islam yang betul akan berleluasa dan nuansa Islam akan menyelubungi seluruh umat.
Teruskan Baca “Dilema Wanita Mencari Pekerjaan.” »»