[harga+minyak.jpg]

Memaparkan catatan dengan label Bicara Ad Deen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bicara Ad Deen. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 26, 2009

SELAMAT HARI BAPA


Apabila menatap akhbar, sedarlah penulis, Ahad, 21 Jun baru-baru ini adalah Hari Bapa. Penulis pun membaca beberapa kisah anak dan bapa. Ada sebuah rencana, disertakan gambar seorang bapa dipeluk dua anak gadisnya sekali gus. Kedua-duanya tidak bertudung, berpakaian santai.

Ada rencana pula memberitahu apa hadiah yang boleh diberi kepada si bapa,
umpamanya meraikannya dengan majlis makan tengah hari dan menghadiahkannya gajet seperti telefon bimbit, komputer riba dan kamera. Malah ada pihak kreatif mengkomersialkan Hari Bapa menawarkan sandwic dan pelbagai juadah lain di restoran mereka.

Sebuah rencana bermula dengan ayat, 'Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa tiada penghujungnya'. Membaca ungkapan ini, melayanglah ingatan penulis akan tazkirah sebelum Jumaat dan khutbah di masjid ketika solat Jumaat hari ini (19 Jun). Kedua-dua majlis ini memperkatakan perkara yang sama - Hari Bapa - dengan penceramah menekankan akan tanggungjawab bapa kepada anak manakala khatib membawa persoalan solat.

Kata penceramah, anak adalah harta (aset) paling bernilai bagi seorang bapa. Ada sebuah hadis menyebut apabila mati seseorang anak Adam (manusia) maka ada tiga perkara yang masih boleh memberi manfaat kepadanya.

Pertama adalah sedekah jariah; kedua ilmu yang bermanfaat dan ketiga anak soleh yang mendoakan orang tuanya. Penceramah berhujah, adakah anak yang kita kasihi sekarang ini, akan mendatangkan manfaat kepada kita apabila kita berada di alam kubur (barzakh) dan alam seterusnya?

Muhasabah (koreksi)lah diri, apakah benar kita sudah menyediakan anak-anak untuk memikul amanah yang berat itu? Sebagai permulaan, eloklah ditanya soalan ini.

Apakah nanti apabila aku mati, anak-anak itu dapat menguruskan jenazahku iaitu memandi, mengkafan, menyembahyang dan menguburkan diriku? Atau adakah mereka akan duduk jauh-jauh, bersembang-sembang di bawah rimbunan pokok di halaman rumah dan menyerahkan semua urusan menyempurnakan aku kepada tok bilal, pak imam dan sebagainya?

Anak yang dapat menolong kita adalah anak-anak yang soleh. Namun semasa hidup ini adakah kita sudah menyediakan anak-anak kita untuk menjadi orang soleh dan solehah?

Tataplah muka surat akhbar yang mengkisahkan si anak dan bapa; jarang benar ditemui si bapa yang meluahkan kebimbangannya akan perangai si anak; hampir semuanya nampak ceria saja, antara lain menunjukkan si bapa bangga bergambar di sisi si anak yang tidak menutup aurat dengan sempurna, atau si anak menjadi seorang artis berjaya.

Adalah biasa untuk kita temui sebuah keluarga, si bapa berkopiah haji, si ibu bertudung litup tetapi si anak daranya selama saja berjeans ketat dan berbaju pendek. Terlalu biasa melihat remaja bertudung, tetapi mendedahkan lengan dan bentuk badannya dengan pakaian terlalu ketat. Adakah pak haji dan mak aji ini fikir dia saja nak masuk syurga; anak-anak lantak kau oranglah.

Ini antara penampilan luaran, yang dapat disaksikan umum, tetapi bagaimana bab lain seperti penyempurnaan Rukun Islam seperti bab sembahyang? Perkara inilah ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaatnya.

Sebagai bapa yang diraikan sempena Hari Bapa, apakah sudah dibereskan tugas bapa yang wajib memastikan seluruh ahli keluarganya menunaikan solat? Usahlah ketawa tersengih-sengih bergambar dengan si anak, berbangga sudah membesarkan mereka menjadi penyanyi, pelakon, pramugari, guru, jurutera dan profesion hebat-hebat lain, tetapi persoalan menyempurnakan Rukun Islam seperti solat tidak beres?

Perlu disedari betapa banyak orang sekarang sudah meninggalkan solat lima waktu. Secara automatik anak yang tidak solat terkeluar daripada senarai anak soleh. Jadi apakah yang kita boleh harapkan daripada mereka? Adakah kita bangga jika mereka menitipkan wang RM100 atau RM200 sebulan kepada kita sebagai mengenang jasa kita sebagai seorang ayah sedangkan mereka tidak sembahyang?

Inilah kerunsingan yang perlu kita fikirkan sempena Hari Bapa ini. Runsing akan masa depan anak-anak aku ini, bolehkah mereka menjadi anak soleh yang akan mendoakan aku apabila aku masuk dalam kubur nanti. Bukanlah pada Hari Bapa ini kita kita disibukkan oleh runsing aku nak dapat hadiah apa, aku nak dibawa ke restoran mana atau aku akan dikelilingi anak-anak dara aku sedangkan mereka gemar mendedahkan aurat mereka dan tak sembahyang pun!

Bertanyalah secara jujur, berjayakah atau sudah berusaha keraskah kita mendidik anak-anak kita menjadi insan soleh? Tentunya, kita akan berasa malu, kita gagal menjadi seorang bapa yang baik, yang mengikuti perintah Allah SWT sepenuhnya. Kepada-Nya kita mohon keampunan, bertaubat bersungguh-sungguh kerana gagal menjadi bapa yang baik sebagai dikehendaki-Nya.

Selain seorang bapa, kita sebenarnya adalah juga seorang anak. Adakah kita seorang anak yang termasuk dalam golongan soleh yang dapat menolong orang tua kita di alam ini atau di alam sana?

Akuilah kita gagal menjadi seorang anak yang baik dan juga seorang bapa yang baik. Kepada-Nya kita mengadu, Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosaku, kedua ibu bapaku, datuk moyang dan zuriat-zuriat kami dan sekalian Muslimin dan Musliman kerana kegagalan kami menjadi anak dan bapa yang baik sebagaimana kehendak-Mu.

Kerana gagal menjadi bapa dan anak yang baik, apakah kita rela tersengih-sengih menyambut Hari Bapa ciptaan Barat itu, apatah lagi dengan menghadiri majlis yang menambahkan koleksi maksiat dan dosa kita kepada-Nya?

sumber: Harakah Daily

Teruskan Baca “SELAMAT HARI BAPA”  »»

Ahad, Disember 07, 2008

Pulihkan Kecintaan Kepada Allah S.W.T



Assalamualaikum..wbt
Saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau, mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Korban 1429 H kepada seluruh umat Islam di Tawau khusus kepada para pemuda dan pemudi Islam.

Bersempena dengan hari yang mulia ini, marilah kita menjadi umat yang sentiasa meletakkan kecintaan yang tinggi terhadap perjuangan Islam dalam kehidupan di dunia yang fana ini.Bersempena dengan peristiwa korban,sewajarnya kita umat Islam mencontohi keluarga Nabi Ibrahim a.s bersama isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. Mereka antara insan yang berjaya dalam membuktikan tahap kecintaaan terhadap Allah s.w.t walaupun dalam sanubari masing-masing masih ada kecintaan terhadap anak,ayah dan ibu tetapi kecintaan dan kepatuhan untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t lebih diutamakan. Umat Islam hari ini akan beroleh kejayaan dalam kehidupan yang berlandaskan dengan Islam sekiranya kecintaan terhadap Allah berada pada posisi dan kedudukan yang betul dan tepat. Selagi mana kita dilanda penyakit cintakan ‘kebendaaan’, ‘populariti’, ‘keduniaan’, pangkat, wang ringgit, harta benda, hiburan dan keseronokan semata-mata, selagi itulah umat Islam akan menjadi umat yang ‘layu’ dan terus ‘melayu’.

Atas dasar itu, untuk memulihkan kembali roh umat Islam semua pihak terutamanya pihak Majlis Perbandaran Tawau dan pemimpin yang telah dilantik oleh rakyat perlu menghentikan sebarang program atau acara yang boleh merosakkan nilai kecintaan terhadap Islam. Para ibu bapa, para guru dan semua badan NGO perlu seia dan sekata dalam usaha memulihkan roh generasi muda supaya mencintai Allah s.w.t sekali gus melaksanakan suruhan dan menjauhi larangan Allah s.w.t.

Sekian, selamat menyambut Hari Raya Korban bersama keluarga tercinta.


Teruskan Baca “Pulihkan Kecintaan Kepada Allah S.W.T”  »»

Jumaat, November 21, 2008

Dilema Wanita Mencari Pekerjaan.

Bila kita bercakap tentang perempuan, gadis, wanita, satu perkara yang selalu terlintas dalam benakku ialah Tudung. Seorang sahabatku pernah mengadu tentang larangan bertudung daripada majikan yang kebanyakannya “bukan Islam” ketika dia bekerja di sekitar Bandar Tawau. Malah didapati beberapa orang kawanku yang dahulunya bertudung kini tidak bertudung atas desakan hidup dan kepayahan mencari pekerjaan.



Mana letaknya maruah agama kita bila mereka yang bergelar majikan atau bos dengan sewenang-wenangnya boleh melarang pekerjanya dari memakai tudung. Tidak kiralah apa pekerjaan tersebut selagi ianya halal, perhotelan ,runcit atau kerani di pejabat sekalipun adalah tidak patut larangan ini dibuat.

Ianya bukan perkara yang baru tetapi masyarakat memandang sepi akan isu ni. Seolah tiada apa apa yang berlaku. Ini baru persoalan yang mudah, isu tudung. Belum kunilai dari keseluruhan aspek yakni menutup aurat sebab bertudung saja tak semestinya menutup aurat. Ada garis panduan yang ditetapkan dalam agama kita.



Itu soal majikan, diri seorang perempuan tu juga kena ada sikap mempertahankan prinsip sebagai contoh sanggup dibuang kerja kerana disuruh buka tudung. Jikalau diri seorang perempuan itu faham benar benar akan perintah Allah tersebut maka tiada “second thought” kerana baginya
meninggalkan apa yang di larang Allah lebih penting dari wang ringgit walau sebanyak mana pun yang ditawarkan di dunia ini.

Isu tudung pada hakikatnya tidak sepatutnya menjadi polemik masyarakat umat Islam yang tidak berkesudahan. Isu ini bukanlah isu etika berpakaian sehingga ia harus dipertimbangkan sama ada perlu atau tidak, sesuai atau tidak kepada masyarakat kita atau bila dan di mana ia wajar dipakai. Isu ini bukanlah isu yang boleh diperdebatkan atau dibincangkan dalam mencari kaedah perlaksanaan yang terbaik, atau samada ia harus diwajibkan atau tidak. Isu tudung adalah isu yang menyangkut soal hukum syara’ dan kedaulatannya. Oleh yang demikian, umat Islam wajib memartabatkan hukum syara’ dan wajib terikat di setiap masa dan detik tanpa menilai pangkat mahupun kedudukan. Inilah hakikat pemakaian tudung.


Tudung telah diWAJIBkan oleh Allah dalam firmanNya yang amat jelas:

“…Dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada…” [TMQ an-Nur:31]

Kehendak ayat ini adalah jelas. Allah tidak menerangkan lebih lanjut tentang maksud ayat ini dan tidak terdapat hadis qauli (ucapan Nabi) yang sahih tentangnya. Namun begitu, hadis iqrari (perakuan Nabi) yang sahih tentangnya amat banyak sekali, Ini merupakan hadis berbentuk perakuan Nabi terhadap para sahabat wanita yang semuanya bertudung setelah turun ayat tersebut. Di antaranya adalah:

Yang pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah radhiAllahu ’anha:


"Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya."


Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah binti Shaybah katanya:


"Ketika kami bersama ‘Aisha r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: "Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka."

Jelas sekali, apabila perintah kewajiban memakai tudung diturunkan, kaum wanita Islam zaman awal tidak mempersoalkan sama ada boleh atau tidak, sesuai atau tidak, bila dan di mana dan tidak pula meminta para cendekiawan atau pemimpin mereka membincangkan soal pemakaian tudung; namun mereka bergegas menyambut perintah tersebut dengan mengoyakkan sebahagian kain sarung mereka untuk menutup kepala dan dada. Mereka melakukannya kerana menginginkan keredhaan Allah semata-mata dan bukan kerana ingin mendapatkan keredhaan manusia atas nama ‘glamour’, peraturan sekolah, undang-undang tempat kerja, periuk nasi, tidak sampai ‘seru’, pakaian ‘taqwa’ lebih baik atau pelbagai lagi alasan yang tidak masuk akal. Golongan wanita Muslim awal seperti inilah sepatutnya dijadikan contoh dan teladan kepada kaum wanita zaman kini untuk segera melaksanakan perintah pemakaian tudung, sekiranya merasakan diri merupakan wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala
Perintah Agama atau Kenyataan Politik?



Jelasnya, tudung adalah kewajiban agama yang penting. Kewajiban ini dihasilkan secara langsung dari sumber-sumber Islam dan bukan merupakan hasil kenyataan politik terkini umat Islam. Hukum tudung telah ditetapkan oleh ulama salaf yang membentangkan keperluannya seribu tahun sebelum fenomena kebangkitan semula Islam. Hari ini , tudung telah menjadi isu kontroversi umat dan ahli politik; oleh itu, motivasi luhur yang menyangkut soal pemakaian tudung bagi menutup aurat hendaklah lahir hanya dari perasaan/ruh Islam dan bukan yang lain. Tambahan pula, pemakaian tudung yang tidak diasaskan kepada rasa tanggungjawab untuk menegakkan hukum syara’ dan mendapat keredhaan Allah tidaklah bermakna di sisiNya. Ini adalah kerana motivasi menutup aurat seperti ini masih tidak dikaitkan kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pahala dan keredhaan Allah hanya akan diperoleh ketika melakukan sesuatu kewajiban semata-mata keranaNya dan bukan atas alasan yang lain.

Pemakaian tudung adalah suatu kewajiban syara’. Ia bukanlah isu yang terkait dengan pilihan peribadi. Tanggapan bahawa adalah salah menghukum seseorang kerana ia tidak memakai tudung merupakan suatu tanggapan yang terpesong. Tudung juga tidak boleh dianggap sebagai adat budaya orang Melayu. Bagi umat Islam di Malaysia, pendidikan mengenai tudung, hakikat syara’nya dan cara pemakaiannya yang betul hendaklah diperhebatkan. Ini adalah perlu kerana ramai di antara kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia tidak difahamkan dengan jelas, sama ada oleh individu-individu di sekelilingnya, masyarakat, keluarga mahupun pemerintah tentang kewajiban mengenakan tudung dan pakaian menutup aurat yang sah di sisi syara’. Dengan pemahaman ini, masyarakat akan lebih peka mengenai aturan syara’ dalam penutupan aurat. Seterusnya, ini akan menimbulkan kepekaan yang amat tinggi di dalam masyarakat; tegur menegur atas kebaikan, khususnya di dalam isu pemakaian tudung dan busana Islam yang betul akan berleluasa dan nuansa Islam akan menyelubungi seluruh umat.


Teruskan Baca “Dilema Wanita Mencari Pekerjaan.”  »»

Dewan Pemuda PAS Tawau © DPPKT Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau,TB 322, Tingkat 3, Blok 38 Jln. St.Patrick, Kompleks Fajar,PS.62040 91030, Tawau Sabah Tel: 089-760214.

KEMBALI KEATAS