[harga+minyak.jpg]

Memaparkan catatan dengan label Bicara Pimpinan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bicara Pimpinan. Papar semua catatan

Selasa, April 27, 2010

BN bukan lagi parti masa depan - Mustafa

KUALA LUMPUR, 27 April: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, Barisan Nasional (BN) bukan parti masa depan selepas hanya menang di kawasan terkawal seperti Felda dan kawasan miskin seperti Orang Asli.



Beliau turut menyifatkan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Hulu Selangor Ahad lalu hanya sebagai kemenangan sementara.

"Pengundi yang lebih celik dan tidak terikat dengan kerajaan mengundi PKR. Tapi pengundi yang terikat seperti Felda, Orang Asli dan di ladang-ladang, trendnya kepada BN.

"Kalau kita lihat masa depan negara yang kita harapkan lebih demokratik, rakyat lebih membaca dan mempunyai kesedaran, Umno/BN ini bukan parti untuk masa depan sebenarnya.

"Orang yang mempunyai kesedaran semacam sudah tidak percaya kepada Umno/BN tapi lebih percaya kepada komponen dalam Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Justeru, katanya angin perubahan yang dikatakan oleh pemimpin Umno/BN tidak berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Ini, ujarnya kerana tidak berlaku pengurangan undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

"Walaupun kelihatan pimpinan BN gembira, namun bagi saya keputusan pilihanraya kecil ini tidak menggembirakan mereka. Mungkin gembira dalam gelisah.

"Kalau alasan yang mereka gunakan bahawa ini tanda satu angin perubahan rakyat Hulu Selangor kepada BN daripada Pakatan Rakyat, ia tidak berlaku sebenarnya. Ini kerana calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim tidak mengalami pengurangan undi berbanding tahun 2008," katanya.

Pada pilihan raya kecil itu, Zaid mendapat 23,272 undi berbanding 23,177 yang diperolehi allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum lalu, yang berjaya menewaskan Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Beliau juga berkata, bantuan media arus perdana berkempen untuk BN termasuk menyerang peribadi Zaid, tidak menjejaskan undi kepada PKR seperti yang diharapkan mereka.

"Media memainkan peranan dalam isu lompat melompat dalam PKR di Hulu Selangor, tidak ada kesan sebenarnya. Fitnah terhadap Zaid pun tidak ada kesan. Yang ada kesan ialah faktor lain yang menaikkan undi kepada BN," katanya.

Menurut Mustafa, kempen BN yang begitu hebat kepada rakyat Hulu Selangor menyebabkan mereka dapat menawan kembali pengundi yang memprotes calon BN pada tahun 2008, G Palanivel.

"Tahun 2008 banyak undi rosak kerana ada orang Melayu dan India yang tidak begitu senang dengan calon BN, G Palanivel dan mereka tidak keluar mengundi dan merosakkan kertas undi.

"Kali ini mungkin dengan kempen yang begitu hebat, tiga tokoh utama BN, Najib, Mahathir dan Muhyiddin turun sekaligus berkempen ,bermaksud mereka begitu terdesak untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

"Pertambahan 2,000 undi yang diperoleh BN kali ini datang daripada undi yang rosak itu, yang dulunya satu protes, mereka sebahagiannya balik semula kepada BN.

“Yang keduanya undi pos. Mereka memperoleh majoriti 600 undi pos. Yang selebihnya mereka menggerakkan pengundi luar yang komited kepada BN untuk balik mengundi,” ujarnya.

Selain itu katanya, BN memberikan tumpuan kepada kawasan Felda, kawasan Orang Asli dan orang India.

"BN menumpukan kepada kawasan tradisi iaitu Felda, boleh dikatakan seluruh Felda dimenangi oleh BN. Orang Asli pula dilonggokkan di satu kawasan. Saya fikir perubahan tempat mengundi yang dikeluarkan SPR bagi membolehkan BN mengawal undi mereka.

"Dengan kemiskinan yang dihadapi Orang Asli, sudah tentu mereka termakan dengan apa yang diberikan BN. Undi India juga majoriti berpihak kepada BN," katanya.

Teruskan Baca “BN bukan lagi parti masa depan - Mustafa”  »»

Selasa, Oktober 20, 2009

Debaran Semakin Kencang!!!


Tinggal lagi 2 hari menjelang Konsert Kesenian Islam yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Dewan Pemuda PAS Tawau bermula.Debaran semakin kencang kerana masing-masing bimbang tentang sambutan yang bakal diterima daripada masyarakat Tawau.Ialah..sekarang ni kan 'time exam' bagi para pelajar,dah la gitu konsert tu pula dibuat pada hari bekerja,mujurlah ianya dibuat sebelah malam..harap-harap ianya mendapat sambutan.Ramai yang bertanya,ngapa tidak dibuat pada hari cuti,so jawapannya ialah tarikh tersebut Nazri Johani yang tentukan bukan pihak penganjur, so kita teruskan je gerak kerja untuk menjayakan konsert ni,yang lain tu kita serah je pada ALLAH SWTkan..


Kita terima tawaran untuk menganjurkan Konsert Kesenian Islam ni kerana nak memberikan alternatif kepada masyarakat terutama sekali golongan remaja yang gemar kepada hiburan. Ianya juga sebagai menjawab persoalan yang selalu ditimbulkan iaitu apakah PAS akan mengharamkan program-program hiburan apabila mengambil alih teraju kepimpinan negara satu hari nanti atau apakah yang PAS boleh buat untuk memastikan golongan remaja tidak terus hanyut dengan hiburan yang melalaikan dan menyebabkan mereka terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat.Maka ini adalah salah satu caranya.Kita tidak anti pada hiburan kerana kita tahu Islam juga tidak melarang kita berhibur.Cuma cara berhibur itu mesti betul dan tidak melanggar syarat-syarat yang telah di tetapkan supaya apa juga yang kita lakukan ianya tidak mendapat murka ALLAH SWT.

Selain daripada Nazrey Johani(bekas vokalis Kumpulan Nasyid RAIHAN ) konsert itu juga nanti akan diserikan lagi dengan persembahan daripada kumpulan nasyid tempatan yang dijemput khas iaitu Kumpulan Nasyid PASTI Nurul Farah Ain Merotai(juara Pertandingan Nasyid Ihtifal Alam Ria Tawau dan juga pernah mewakili PASTI negeri Sabah untuk bertanding diperingkat kebangsaan),Kumpulan Nasyid Syotul Syabab daripada Unit Amal,yang dibarisi oleh anak-anak muda yang berbakat dan sering mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan dan juga Kumpulan Nasyid SMK Balung Tawau yang sudah memang tidak asing lagi di daerah ini kerana mereka sering menjuarai pertandingan nasyid peringkat sekolah samada di Tawau atau pun negeri.

Tiket-tiket masuk boleh dibeli dengan ejen-ejen yang telah dilantik atau terus je beli di dewan masa hari konsert nanti.Semoga konsert ini mendapat sambutan daripada masyarakat Tawau. Teman-teman yang berada di kejauhan tu tolong doakan ye semoga konsert ni berjaya...

Sumber : Matbulan.blogspot.com (Timbalan Ketua Pemuda PAS Tawau)

Teruskan Baca “Debaran Semakin Kencang!!!”  »»

Jumaat, Ogos 28, 2009

Hukuman rotan syariah tidak melukakan

Komentar Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing.



Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Apabila asasnya adalah nas, maka ia adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana ia berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan jumlahnya.

Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ia memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan.

Oleh yang demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam.

Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam.

Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – sama ada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk Aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi!

Artikel ini diterbitkan sepenuhnya daripada kenyataan media Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang


Teruskan Baca “Hukuman rotan syariah tidak melukakan”  »»

Selasa, April 07, 2009

Buktikan kerjasama,bersatu tolak BN!

SUNGAI PETANI, 7 April (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru pengundi pelbagai kaum bersatu membuat perubahan dan membuktikan kerjasama serta persefahaman dengan menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil ini.



Nasihat beliau, jangan ada syak wasangka dan tidak percaya antara satu sama lain kerana sikap itu akhirnya membolehkan BN tetap kekal memerintah.

Ujar Tuan Guru, PAS telah menang di Bukit Gantang pada pilihan raya lalu bukan sahaja denganundi orang Melayu tetapi juga hasil sokongan orang India dan Cina.

"Hari ini orang India dan Cina menunjukkan sokongan yang lebih hebat di Bukit Gantang. Jangan pula kita orang Melayu di Bukit Selambau tidak ada semangat nak sokong calon kita ini (S Manikumar).

"Di Bukit Gantang kita nak menang, Bukit Selambau kita biar macam itu sahaja, itu tidak adil. Kita orang Melayu di sini undi calon India kita dan orang India dan Cina di sana undi calon PAS Bukit Gantang.



"Buktikan kerjasama kita, buktikan persefahaman kita, buktikan kita bersatu untuk membuat perubahan dalam pilihan raya," tegas beliau yang disambut laungan takbir lebih 5,000 hadirin pada ceramahnya di Taman Ria Jaya, di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Hadi menjelaskan mengenai persefahaman yang diadakan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW dengan penganut-penganut agama Yahudi, Kristian dan kabilah-kabilah Arab dalam mengukuhkan pemerintahan negara.

Beliau turut membawakan kisah Rasulullah menggunakan khidmat seorang bukan Islam sebagai penunjuk jalan dalam Hijrah Baginda ke Madinah.

Tegas beliau, di atas ajaran itulah PAS mengadakan kerjasama dengan penganut-penganut agama lain dalam membentuk kerajaan.

Oleh itu, beliau menyeru para pengundi di Bukit Selambau memberikan undi kepada S Manikumar sebagai calon Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan kerajaan di Kedah.

Menjawab tuduhan Umno bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah khianat kepada orang Melayu kerana memberi geran tanah Kampung Baru Cina sebelum ini, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Perak sebenarnya bersikap adil kepada semua kaum.

Ujarnya, Islam mengajar untuk bersikap adil walaupun kepada musuh apatah lagi kepada rakyat sendiri, oleh itu menjadi tanggung jawab kerajaan untuk berlaku adil kepada semua kaum.

Tegas beliau, Umnolah sebenarnya pengkhianat kepada orang Melayu. Beliau memberikan contoh mengenai tulisan Jawi yang telah hilang dari orang Melayu sedangkan orang Cina dan India masih memiliki tulisan mereka masing-masing.

Turut berceramah pada malam itu ialah Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said. Hadir sama beberapa tokoh pejuang bahasa antaranya Prof Dr Abdullah Hassan, Ainon Mohd dan lain-lain termasuk calon Pakatan Rakyat Dun Bukit Selambau, S Manikumar. - mks.

Kredit : Harakahdaily.net

Teruskan Baca “Buktikan kerjasama,bersatu tolak BN!”  »»

Jumaat, Mac 20, 2009

Dialog Dalaman Bersama Ustaz Abdullah Husin

Alhamdulillah... Kelmarin, PAS Kawasan Tawau sempat membuat satu program ringkas yakni "Dialog Dalaman" bersama Ketua Dewan Ulama PAS Johor (Ustaz Abdullah Husin) yang kebetulan berada di Tawau.

Walaupun program serba ringkas dirancang pada saat saat akhir, alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan kehadiran yang amat memberangsangkan.

Di sini disertakan sedutan Video program berkenaan.



Video yang lengkap akan diupload sekiranya ada permintaan. Harap Maklum.




Teruskan Baca “Dialog Dalaman Bersama Ustaz Abdullah Husin”  »»

Selasa, Mac 03, 2009

Pandangan Beberapa Tokoh Mengenai PPSMI

Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau telah menyatakan pendirian kami mengenai isu PPSMI (Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) dan mengapa kami menentangnya.

Mari kita lihat pandangan beberapa tokoh yang menentang PPSMI :

“Kita yang cipta dasar itu, tetapi kita yang menentang dasar. Ini adalah sifat munafik. Kita yang buat Dasar Pelajaran Kebangsaan kita pula melanggar ia dengan formula tidak menguntungkan pendidikan seperti PPSMI”

Prof Dr. Awang Sariyan
Mantan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

“Pergantungan terhadap statistik seperti jumlah calon mendapat 5A atau menjawab soalan dalam bahasa Inggeris dalam menetapkan pelaksanaan dasar pendidikan tidak wajar kerana ia tidak menggambarkan keupayaan keseluruhan pelajar”


Profesor Diraja Ungku Aziz.


“Dasar ini (PPSMI) secara terang-terangan menidakkan keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi dalam keadaan negara kini menuju ke arah negara maju”

Tan Sri Abdul Rahman Arshad.


"Jangan pandang ringan isu bahasa ibunda ini kerana ia juga merupakan isu masa depan anak muda .”

Sasterawan Negara Dato’ A Samad Said.


“Seharusnya kerajaan menghapuskan segera dasar itu kerana PPSMI jelas satu dasar yang salah,”

Dato’ Dr. Hassan Ahmad.
Mantan Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)

“PPSMI menyebabkan pelajar bandar semakin menguasainya manakala pelajar luar bandar bertambah lemah.Dasar ini juga akan menjadikan Bahasa Melayu yang tiada nilai ekonomi dan komersial .Akhirnya, Bahasa Melayu hanya berupaya menjadi bahasa komunikasi harian sahaja.”

Tn Hj Mohamad Bin Abdullah.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah.

“Pelaksanaan PPSMI sebenarnya telah bertindak menjadi pembunuh Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan teknologi secara senyap dan diam. Natijahnya, seperti hilang dan lenyapnya penguasaan tulisan jawi dalam kalangan generasi muda hari ini. ”

Saudara Muhammad Nasir Ali
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau.


Penulis juga tertarik tentang keluhan Sasterawan Negara A. Samad Said dan Keputusan Muafakat Ulama yang menentang PPSMI ini dari diteruskan.




Teruskan Baca “Pandangan Beberapa Tokoh Mengenai PPSMI”  »»

Sabtu, Januari 10, 2009

10 Resolusi Dewan Pemuda PAS Tawau kepada Masyarakat Islam Di Tawau




1. Bersama untuk mengecam tindakan ganas rejim zionis Israel yang semakin kejam.

2. Menyokong penuh tindakan kerajaan Hamas di Gaza untuk melindungi dan mempertahankan tanah air mereka.

3. Bersama untuk melakukan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah agar Allah SWT memberi pertolongan kepada umat Islam Palestin.

4. Bersama untuk memboikot dalam apa jua produk barangan dan perkhidmatan yang ada kaitan dengan Amerika Syarikat yang telah menyokong tindakan ganas rejim zionis Israel.

5. Menyokong penuh tindakan PAS Pusat bagi mendesak Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan juga negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya mengambil tindakan yang lebih tegas dan berkesan bagi membendung kezaliman rejim zionis Israel.

6. Bersama dan sentiasa berdoa secara khusus untuk rakyat Palestin setiap kali selesai solat fardhu.

7. Menyeru semua pimpinan masjid supaya memberi fokus semasa khutbah Jumaat bagi memberi kefahaman bahawa masalah Palestin merupakan masalah umat Islam sedunia dan mengadakan kutipan derma jihad untuk rakyat Palestin.

8. Bersama untuk menyumbang kewangan untuk Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin melalui Dewan Pemuda PAS Tawau.

9. Bersama menyokong tindakan kerajaan Malaysia yang meluluskan bantuan kemanusiaan sebanyak RM3.4Juta kepada penduduk Palestin dan perlu dipastikan penyaluran sumber kewangan itu benar benar sampai dan dirasai oleh penduduk Palestin.

10. Bersama untuk menggesa supaya kerajaan negara-negara Islam untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat yang telah menyokong tindakan ganas Israel di Gaza.






Teruskan Baca “10 Resolusi Dewan Pemuda PAS Tawau kepada Masyarakat Islam Di Tawau”  »»

Isnin, Disember 08, 2008

Perutusan Pesuruhjaya PAS Sabah Sempena Aidil Adha


Assalamualaikum wbt
Saya mewakili saf kepimpinan PAS Negeri Sabah ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya penduduk negeri Sabah.Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s beserta anaknya Nabi Ismail a.s dalam meneruskan perjuangan membela agama. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun bagaimana Nabi Ibrahim a.s, menunjukkan kepatuhan,ketaatan, pengorbanan dan kesabaran dalam menerima perintah Allah s.w.t. Atas nama sunah ini maka seluruh umat Islam di pelusuk dunia bagi yang berkemampuan telah menyembelih binatang ternakan sebagai tanda mengikut jejak langkah Nabi Ibrahim a.s. Kisah Nabi Ibrahim a.s baik ketika meninggalkan anak kecil dan isteri muda yang lelah di tengah padang pasir juga ketika menerima perintah Allah menyembelih anak kesayangannya, sudah diketahui dari kitab-kitab, tuan-tuan guru dan ceramah-ceramah malah dalam Al-Quran sendiri. Kesemua kisah itu dapat kita simpulkan kepada tiga;Pertama, asasnya adalah ketaatan yang kental kepada Allah s.w.t.Kedua, ‘Millah’ Ibrahim ialah Allah akan memberi hidayah kepadanya kerana semata-mata mentaati Allah.Ketiga ialah keikhlasan dalam amalan.Allah tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang dikerjakan dengan penuh ikhlas dan semata-mata ditujukan kepada-Nya. Oleh sebab itu, penghayatan yang mendalam atas pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s wajar dicerna dalam segenap ruang hidup kita.Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar sentiasa membiasakan diri untuk mengamalkan sikap suka berkorban sepanjang masa dari segi wang, tenaga, masa, dan buah fikiran untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Allahu akbar ! Allahu akbar ! Allahu akbar !





Teruskan Baca “Perutusan Pesuruhjaya PAS Sabah Sempena Aidil Adha”  »»

Dewan Pemuda PAS Tawau © DPPKT Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau,TB 322, Tingkat 3, Blok 38 Jln. St.Patrick, Kompleks Fajar,PS.62040 91030, Tawau Sabah Tel: 089-760214.

KEMBALI KEATAS