Selasa, April 07, 2009

Buktikan kerjasama,bersatu tolak BN!

SUNGAI PETANI, 7 April (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru pengundi pelbagai kaum bersatu membuat perubahan dan membuktikan kerjasama serta persefahaman dengan menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil ini.



Nasihat beliau, jangan ada syak wasangka dan tidak percaya antara satu sama lain kerana sikap itu akhirnya membolehkan BN tetap kekal memerintah.

Ujar Tuan Guru, PAS telah menang di Bukit Gantang pada pilihan raya lalu bukan sahaja denganundi orang Melayu tetapi juga hasil sokongan orang India dan Cina.

"Hari ini orang India dan Cina menunjukkan sokongan yang lebih hebat di Bukit Gantang. Jangan pula kita orang Melayu di Bukit Selambau tidak ada semangat nak sokong calon kita ini (S Manikumar).

"Di Bukit Gantang kita nak menang, Bukit Selambau kita biar macam itu sahaja, itu tidak adil. Kita orang Melayu di sini undi calon India kita dan orang India dan Cina di sana undi calon PAS Bukit Gantang.



"Buktikan kerjasama kita, buktikan persefahaman kita, buktikan kita bersatu untuk membuat perubahan dalam pilihan raya," tegas beliau yang disambut laungan takbir lebih 5,000 hadirin pada ceramahnya di Taman Ria Jaya, di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Hadi menjelaskan mengenai persefahaman yang diadakan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW dengan penganut-penganut agama Yahudi, Kristian dan kabilah-kabilah Arab dalam mengukuhkan pemerintahan negara.

Beliau turut membawakan kisah Rasulullah menggunakan khidmat seorang bukan Islam sebagai penunjuk jalan dalam Hijrah Baginda ke Madinah.

Tegas beliau, di atas ajaran itulah PAS mengadakan kerjasama dengan penganut-penganut agama lain dalam membentuk kerajaan.

Oleh itu, beliau menyeru para pengundi di Bukit Selambau memberikan undi kepada S Manikumar sebagai calon Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan kerajaan di Kedah.

Menjawab tuduhan Umno bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah khianat kepada orang Melayu kerana memberi geran tanah Kampung Baru Cina sebelum ini, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Perak sebenarnya bersikap adil kepada semua kaum.

Ujarnya, Islam mengajar untuk bersikap adil walaupun kepada musuh apatah lagi kepada rakyat sendiri, oleh itu menjadi tanggung jawab kerajaan untuk berlaku adil kepada semua kaum.

Tegas beliau, Umnolah sebenarnya pengkhianat kepada orang Melayu. Beliau memberikan contoh mengenai tulisan Jawi yang telah hilang dari orang Melayu sedangkan orang Cina dan India masih memiliki tulisan mereka masing-masing.

Turut berceramah pada malam itu ialah Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said. Hadir sama beberapa tokoh pejuang bahasa antaranya Prof Dr Abdullah Hassan, Ainon Mohd dan lain-lain termasuk calon Pakatan Rakyat Dun Bukit Selambau, S Manikumar. - mks.

Kredit : Harakahdaily.net

Terima kasih telah membaca' sila tinggalkan komen.

Dewan Pemuda PAS Tawau © DPPKT Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau,TB 322, Tingkat 3, Blok 38 Jln. St.Patrick, Kompleks Fajar,PS.62040 91030, Tawau Sabah Tel: 089-760214.

KEMBALI KEATAS