[harga+minyak.jpg]

Ahad, Mac 01, 2009

Pendirian Pemuda Tawau Terhadap PPSMI


Ramai orang memperkatakan mengenai PPSMI... tapi tahukah anda apa itu PPSMI??

PPSMI ialah akronim kepada Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. PPSMI dimaktubkan sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002.Pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 sehingga kini.


15 Bentuk Pengkhianatan PPSMI Anjuran Kerajaan Barisan Nasional

1. Bertentangan dengan Akta Pelajaran (1961)
2. Bertentangan dengan Penyata Rahman Talib (1960)
3. Bercanggah dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67
4. Bertentangan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971
5. Menjatuhkan martabat bahasa ibunda
6. Membazir wang rakyat
7. Memudaratkan pelajar luar Bandar (Desa)
8. Bertentangan dengan Penyata Razak (1956)
9. Bercanggah dengan Akta Pendidikan (1996)
10. Menghina kedaulatan Raja-raja Melayu
11. Melanggar Perlembagaan Malaysia Pindaan Perkara 159
12. Langgar Perlembagaan Malaysia Perkara 152
13. Melanggar perlembagaan Malaysia Perkara 10 (4)
14. Membunuh bahasa Melayu
15. Bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara



Dewan Pemuda PAS Tawau dengan fakta dan sebab yang munasabah secara tegas menolak pelaksanaan PPSMI dan mendesak kerajaan agar memansuhkan program ini dengan segera . Badan-badan bukan kerajaan serta pemimpin akademik seluruh negara telah menyertai secara bersama dalam usaha menetang PPSMI sebagai bukti ia bukan isu politik sebaliknya isu yang berkaitan dengan kepentingan pendidikan untuk anak bangsa dan prinsip bahasa sebagai jiwa bangsa.


Atas dasar di atas, kami gariskan hujahan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau antaranya :

  • Tujuan seluruh usaha ini ialah untuk meningkatkan penguasaan BI pelajar. Tetapi ini telah dilakukan dengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Penyelesaian ini seperti kata pepatah Melayu, lain yang luka lain yang dibebat. Tidak pernah dibuktikan di mana-mana di dunia, mengajar sains dan matematik boleh meningkatkan penguasaan bahasa .

  • Kajian yang “lebih” telus dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak menunjukkan mereka yang tinggal di bandar dan mereka yang daripada keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera. Dengan PPSMI pada ini jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Hal ini,yang akan menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70% penduduk luar bandar .




  • Kemungkinan besar tindakan ini untuk menutup kegagalan Kementerian Pelajaran dalam usaha mencari kaedah yang sesuai untuk mengajar bahasa Inggeris. Tegasnya kementerian mestilah mencari kaedah mengajar bahasa Inggeris yang sesuai dan berkesan bukannya mata pelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris.

  • Kerajaan mestilah belajar daripada pengalaman. Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi dari bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi,gara-gara tindakan kerajaan BN.

  • Bagaimana pemimpin kerajaan BN boleh mempertahankan tindakan yang terang-terang melanggar Akta? Tindakan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Kononnya dua mata pelajaran tetapi ternyata kini bahawa sebenarnya lebih 80% kursus di sekolah menengah dan IPT telah diajar dalam bahasa Inggeris. Ini adalah benar dan bukannya andaian palsu. Apabila ini sudah berlaku maka Akta mungkin akan dipinda atas alasan fait accompli dan hancurlah bahasa Melayu.



  • Kesan negatif akibat PPSMI telah melarat-larat dengan keghairahan pemimpin besar dan kecil sehingga menghina dan memperkecil bahasa rasmi/bahasa kebangsaan dalam semua aspek kehidupan di negara ini sebagai bahasa rasmi, ilmu dan perhubungan di negara ini sehingga DBP pun seolah-olah sudah “mati” dan tidak berwibawa lagi.

  • Rancangan untuk menjadikan keputusan UPSR pada tahun ini sebagai salah satu penentu penerusan PPSMI juga amat tidak logik dan membelakangi ilmu perancangan pendidikan. Bahasa Melayu tetap hancur dan musnah akibat PPSMI, keputusan dan angka juga boleh berubah-ubah dan soalan juga masih dwibahasa.

  • Pengendalian Persidangan Meja Bulat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang cuba mendapatkan pandangan tentang PPSMI telah dilaksanakan secara “tidak adil” dan “laporannya” dalam akhbar juga “mengelirukan”. Tiga daripada lima orang pembentang bukannya berbicara tentang PPSMI tetapi tentang kepentingan menguasai bahasa Inggeris. Apakah meja bulat ini hanya untuk mengaburi mata orang ramai sahaja kerana pengerusinya tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif dan tepat.


Atas dasar ini, kami menyokong gagasan anti PPSMI (GAP).





Terima kasih telah membaca' sila tinggalkan komen.

Dewan Pemuda PAS Tawau © DPPKT Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau,TB 322, Tingkat 3, Blok 38 Jln. St.Patrick, Kompleks Fajar,PS.62040 91030, Tawau Sabah Tel: 089-760214.

KEMBALI KEATAS