[harga+minyak.jpg]

Khamis, November 27, 2008

Siapa paling Bijak???

Assalamualaikum w..w..

Terlebih dahulu kami dari team blogmaster PemudaTawau mewakili DPPKT mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga ukhti Arnisah (Nisa’ Tawau) atas pemergian ayahanda beliau ke Rahmatullah pada malam 24 November 2008/26 Zulkaedah 1429.Semoga Allah mencucuri rahmatNya atas roh almarhum dan digolongkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh…
Setelah perginya seseorang anak Adam kepada penciptaNya sewajarnya kita yang masih diberi kesempatan untuk bernafas menyemak kembali “akaun” amalan masing-masing. Tahniah kepada mereka yang mengalami “penambahan” dan sekalung takziah kepada mereka yang mengalami “pengurangan atau defisit” amalan.

Ada beberapa ungkapan yang “popular” kita dengar mengenai kematian antaranya Mati Suatu Peringatan, Mati Tanda Allah lebih Mengasihi seseorang hambaNya dan Mati Suatu Kepastian. Namun apa yang menarik perhatian penulis ialah ungkapan Tok Guru Nik Aziz yang menyebut kematian sebagai “al-Furqan” antara manusia cerdik dengan manusia yang jahil atau bebal. Ungkapan ini sebenarnya bersandarkan kepada Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi sebagai menyebut Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitung dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah S.W.T (untuk mendapat kebahagiaan dan pengampunan daripadaNya tanpa beramal soleh).

Seharusnya kita sebagai hamba Allah yang beriman dan memikul tugas Jundullah di bumi Tawau ini khususnya mengambil dasar ini sebagai menjawab persoalan Siapa Paling Bijak?, selain sebagai asas penilaian tahap kecerdikan diri masing-masing dan bukan pada kelayakan akademik yang dimiliki. Janganlah kita hendaknya menjadi manusia yang sentiasa berangan-angan mendapat keampunan Allah walhal kita sebenarnya sangat berkira untuk rukuk dan sujud kepadaNya apatah lagi menadah tangan penuh keinsafan dengan linangan air mata.


Jadilah kita orang yang banyak mengingati mati iaitu yang sentiasa mengawasi diri dari melakukan dosa yang pastinya akan membawa akibat buruk di alam barzakh apatah lagi di akhirat. Setiap yang kita lakukan haruslah mengikut pantang larang Allah dan bukan seperti tepuk dada tanya selera yang boleh membawa konotasi hidup di bawah dorongan nafsu sebaliknya tanyalah iman masing-masing iaitu tepuk dada tanya iman…

Wallahu’alam…PAS FOR ALL

Anasibnmalik =)



Teruskan Baca “Siapa paling Bijak???”  »»

Rabu, November 26, 2008

25-11-1984 – 25-11-2008: Suatu Penilaian

A’kum…Klu ada masa terluang, jemput datang ke rumah mlm ni slps isyak…Ada majlis mkn2 skit sempena ulang tahun kelahiranku..Terima kasih




Begitulah undangan yang penulis terima melalui khidmat sms pada 02:51:44pm daripada seorang sahabat yang disayangi. Penulis berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat mengucapkan selamat ulang tahun terlebih dahulu kepada sifu blog DPPKT ini sebelum menerima smsnya dek ‘talian hayat’ handphone penulis yang telah habis. Namun, penulis mewakili team blogmaster DPPKT yang lain serta seluruh warga DPPKT dengan penuh rasa syukur mengucapkan Selamat Ulang Tahun ke-24. Kami mendoakan agar saudara sentiasa beroleh rahmat dan maghfirah daripada Allah S.W.T dalam menempuh hidup sebagai pejuang Dinul Islam menuju redha Illahi.

Teringat penulis beberapa peringatan daripada Tok Guru Nik Aziz mengenai anugerah dan amanah masa MUDA yang sedang kita nikmati sekarang.

Menurut beliau masa muda merupakan kesempatan yang datang secara percuma dan harus dijana demi masa tua. Masa muda ini janganlah dibiar berlalu tanpa erti kerana pada ketika inilah kecergasan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik. Kekuatan inilah yang harus dijana dengan melakukan kerja-kerja amal selain berusaha untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengetahuan.

Hakikat yang harus diinsafi ialah masa muda tidak akan bertahan dan pastinya akan dipersoalkan kelak di Mahkamah Agung Allah S.W.T kerana masa muda bukan sahaja suatu anugerah bahkan amanah berat yang harus dijaga demi memastikan masa tua penuh kesyukuran bukan penyesalan yang tak berkesudahan.

Suka penulis mengimbau kembali antara kandungan kuliah Maghrib Ketua Pemuda sewaktu melakukan kunjungan amal ke Rumah Anak Yatim Ar-Raudhah yang menerangkan peringatan Allah kepada manusia tentang hakikat penciptaan manusia melaui FirmanNya dalam Surah At-Tin ayat 4-6 yang mafhumnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus”

Sama-samalah kita berusaha untuk menjadi golongan yang ‘dikecualikan’ itu antaranya melalui gerak kerja dalam Dewan Pemuda itu sendiri. Semoga sifu blog DPPKT terus istiqamah dalam memimpin perjalanan blog ini yang baru sahaja dilahirkan supaya terus sukses dalam mencapai matlamat pewujudannya insyaAllah…

Wallau’alam… PAS FOR ALL

Anasibnmalik =)



Teruskan Baca “25-11-1984 – 25-11-2008: Suatu Penilaian”  »»

Selasa, November 25, 2008

PAS Tawau Sokong Kempen Tandatangan DAP






Dewan Pemuda Pas Tawau menyokong tindakan DAP Tawau yang melakukan kempen tandatangan membatalkan pembinaan bangunan komersial di Lot D dan E di kawasan Sabindo. Dicadangkan agar bangunan tersebut dimusnahkan seperti keadaan asal.Menurut Ketua Pemuda PAS Tawau saudara Muhammad Nasir ,’’ pembinaan bangunan berkenaan tidak sesuai dan menjadikan kawasan Sabindo menjadi sempit dan sesak” .Menurutnya lagi “ Dewan Pemuda Pas Kawasan Tawau menyokong supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) Tawau melaksanakan penyiasatan skandal tanah Ruang Bandar Sabindo dan mendakwa sesiapa yang didapati bersalah meluluskan bangunan komersial tersebut”.









Realitinya, bangunan itu sekarang ini menjadi ‘misteri’ dan tidak mustahil menjadi tempat atau tapak kegiatan-kegiatan sosial yang merosakkan nilai budi orang Tawau.Inilah jadinya bila merancang tidak secara bijaksana tetapi merancang untuk ‘poket sendiri’



Fikir-fikirkanlah orang Tawau.

Teruskan Baca “PAS Tawau Sokong Kempen Tandatangan DAP”  »»

Jumaat, November 21, 2008

Dilema Wanita Mencari Pekerjaan.

Bila kita bercakap tentang perempuan, gadis, wanita, satu perkara yang selalu terlintas dalam benakku ialah Tudung. Seorang sahabatku pernah mengadu tentang larangan bertudung daripada majikan yang kebanyakannya “bukan Islam” ketika dia bekerja di sekitar Bandar Tawau. Malah didapati beberapa orang kawanku yang dahulunya bertudung kini tidak bertudung atas desakan hidup dan kepayahan mencari pekerjaan.



Mana letaknya maruah agama kita bila mereka yang bergelar majikan atau bos dengan sewenang-wenangnya boleh melarang pekerjanya dari memakai tudung. Tidak kiralah apa pekerjaan tersebut selagi ianya halal, perhotelan ,runcit atau kerani di pejabat sekalipun adalah tidak patut larangan ini dibuat.

Ianya bukan perkara yang baru tetapi masyarakat memandang sepi akan isu ni. Seolah tiada apa apa yang berlaku. Ini baru persoalan yang mudah, isu tudung. Belum kunilai dari keseluruhan aspek yakni menutup aurat sebab bertudung saja tak semestinya menutup aurat. Ada garis panduan yang ditetapkan dalam agama kita.



Itu soal majikan, diri seorang perempuan tu juga kena ada sikap mempertahankan prinsip sebagai contoh sanggup dibuang kerja kerana disuruh buka tudung. Jikalau diri seorang perempuan itu faham benar benar akan perintah Allah tersebut maka tiada “second thought” kerana baginya
meninggalkan apa yang di larang Allah lebih penting dari wang ringgit walau sebanyak mana pun yang ditawarkan di dunia ini.

Isu tudung pada hakikatnya tidak sepatutnya menjadi polemik masyarakat umat Islam yang tidak berkesudahan. Isu ini bukanlah isu etika berpakaian sehingga ia harus dipertimbangkan sama ada perlu atau tidak, sesuai atau tidak kepada masyarakat kita atau bila dan di mana ia wajar dipakai. Isu ini bukanlah isu yang boleh diperdebatkan atau dibincangkan dalam mencari kaedah perlaksanaan yang terbaik, atau samada ia harus diwajibkan atau tidak. Isu tudung adalah isu yang menyangkut soal hukum syara’ dan kedaulatannya. Oleh yang demikian, umat Islam wajib memartabatkan hukum syara’ dan wajib terikat di setiap masa dan detik tanpa menilai pangkat mahupun kedudukan. Inilah hakikat pemakaian tudung.


Tudung telah diWAJIBkan oleh Allah dalam firmanNya yang amat jelas:

“…Dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada…” [TMQ an-Nur:31]

Kehendak ayat ini adalah jelas. Allah tidak menerangkan lebih lanjut tentang maksud ayat ini dan tidak terdapat hadis qauli (ucapan Nabi) yang sahih tentangnya. Namun begitu, hadis iqrari (perakuan Nabi) yang sahih tentangnya amat banyak sekali, Ini merupakan hadis berbentuk perakuan Nabi terhadap para sahabat wanita yang semuanya bertudung setelah turun ayat tersebut. Di antaranya adalah:

Yang pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah radhiAllahu ’anha:


"Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya."


Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah binti Shaybah katanya:


"Ketika kami bersama ‘Aisha r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: "Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka."

Jelas sekali, apabila perintah kewajiban memakai tudung diturunkan, kaum wanita Islam zaman awal tidak mempersoalkan sama ada boleh atau tidak, sesuai atau tidak, bila dan di mana dan tidak pula meminta para cendekiawan atau pemimpin mereka membincangkan soal pemakaian tudung; namun mereka bergegas menyambut perintah tersebut dengan mengoyakkan sebahagian kain sarung mereka untuk menutup kepala dan dada. Mereka melakukannya kerana menginginkan keredhaan Allah semata-mata dan bukan kerana ingin mendapatkan keredhaan manusia atas nama ‘glamour’, peraturan sekolah, undang-undang tempat kerja, periuk nasi, tidak sampai ‘seru’, pakaian ‘taqwa’ lebih baik atau pelbagai lagi alasan yang tidak masuk akal. Golongan wanita Muslim awal seperti inilah sepatutnya dijadikan contoh dan teladan kepada kaum wanita zaman kini untuk segera melaksanakan perintah pemakaian tudung, sekiranya merasakan diri merupakan wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala
Perintah Agama atau Kenyataan Politik?



Jelasnya, tudung adalah kewajiban agama yang penting. Kewajiban ini dihasilkan secara langsung dari sumber-sumber Islam dan bukan merupakan hasil kenyataan politik terkini umat Islam. Hukum tudung telah ditetapkan oleh ulama salaf yang membentangkan keperluannya seribu tahun sebelum fenomena kebangkitan semula Islam. Hari ini , tudung telah menjadi isu kontroversi umat dan ahli politik; oleh itu, motivasi luhur yang menyangkut soal pemakaian tudung bagi menutup aurat hendaklah lahir hanya dari perasaan/ruh Islam dan bukan yang lain. Tambahan pula, pemakaian tudung yang tidak diasaskan kepada rasa tanggungjawab untuk menegakkan hukum syara’ dan mendapat keredhaan Allah tidaklah bermakna di sisiNya. Ini adalah kerana motivasi menutup aurat seperti ini masih tidak dikaitkan kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pahala dan keredhaan Allah hanya akan diperoleh ketika melakukan sesuatu kewajiban semata-mata keranaNya dan bukan atas alasan yang lain.

Pemakaian tudung adalah suatu kewajiban syara’. Ia bukanlah isu yang terkait dengan pilihan peribadi. Tanggapan bahawa adalah salah menghukum seseorang kerana ia tidak memakai tudung merupakan suatu tanggapan yang terpesong. Tudung juga tidak boleh dianggap sebagai adat budaya orang Melayu. Bagi umat Islam di Malaysia, pendidikan mengenai tudung, hakikat syara’nya dan cara pemakaiannya yang betul hendaklah diperhebatkan. Ini adalah perlu kerana ramai di antara kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia tidak difahamkan dengan jelas, sama ada oleh individu-individu di sekelilingnya, masyarakat, keluarga mahupun pemerintah tentang kewajiban mengenakan tudung dan pakaian menutup aurat yang sah di sisi syara’. Dengan pemahaman ini, masyarakat akan lebih peka mengenai aturan syara’ dalam penutupan aurat. Seterusnya, ini akan menimbulkan kepekaan yang amat tinggi di dalam masyarakat; tegur menegur atas kebaikan, khususnya di dalam isu pemakaian tudung dan busana Islam yang betul akan berleluasa dan nuansa Islam akan menyelubungi seluruh umat.


Teruskan Baca “Dilema Wanita Mencari Pekerjaan.”  »»

Khamis, November 20, 2008

Muat Turun Shotul Syabab

Sedar atau tidak, terdapat ruangan baru dalam blog ini iaitu Ruangan Shotul Syabab.



Ianya merupakan risalah-risalah yang pernah dikeluarkan oleh Dewan Pemuda Pas Tawau sebelum ini. Jadi kepada mana mana individu yang ingin memuat turun risalah tersebut boleh la berbuat demikian. Semoga segala maklumat yang ada di dalamnya dapat dimanfaatkan lebih ramai lagi dan tidak terhenti di sini sahaja.

Sebagai permulaan, isu mengenai Murtad dan Peperiksaan diletakkan di sini dan insyaAllah isu isu lain akan ditambah di masa akan datang.

Akhir kalam, sebarang cadangan, teguran atau apa saja yang dirasakan baik untuk blog ini sila komen di ruang komen dalam entri ini atau e-mailkan pandangan anda ke pemudatawau@yahoo.com.

Terima kasih.

Mengupayakan Perjuangan
Webmaster

Teruskan Baca “Muat Turun Shotul Syabab”  »»

Dewan Pemuda PAS Tawau © DPPKT Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau,TB 322, Tingkat 3, Blok 38 Jln. St.Patrick, Kompleks Fajar,PS.62040 91030, Tawau Sabah Tel: 089-760214.

KEMBALI KEATAS