Selasa, April 10, 2012


PERUTUSAN KHAS

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

SEMPENA PERTABALAN DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG KE 14

18 Jamadi al-Awwal 1433 bersamaan 10 April 2012

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu`tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu`adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah di atas pertabalan baginda sebagai Yang Di Pertuan Agong Malaysia ke 14 pada hari Rabu, 11 April 2012.

DPPM mengucapkan syukur di atas pelantikan DYMM Tuanku sebagai Yang Di Pertuan Agong buat kali kedua setelah menaiki takhta YDP Agong dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Sesungguhnya prinsip keadilan, kesaksamaan dan perpaduan yang diterapkan oleh DYMM Paduka Tuanku akan lebih menyatukan rakyat di negara ini.

DPPM juga menyanjung tinggi konsep Raja Perlembagaan yang diamalkan di negara ini sejak merdeka. Sebagai payung negara dan umat Islam di negara ini, menjadi harapan seluruh umat Islam agar DYMM Tuanku terus memayungi umat Islam dan memartabatkan agama Islam di negara ini. DPPM berharap dengan pertabalan Tuanku ini juga akan merancakkan lagi terhadap pemerkasaan perlaksanaan dan penguatkuasaan syariat dan hukum-hukum Islam yang semakin subur dalam pemahaman rakyat jelata. DPPM yakin hanya Islam lah penyelamat dan faktor penyatuan ummat dan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Sejarah telah membuktikan sejak zaman kesultanan Melaka dahulu, Islam menjadi agama yang dihormati dan diterima apabila Sultan dan Rajanya menjadi penauang dan pelaksana baginya.

Akhirnya, DPPM mendoakan semoga DYMM Tuanku serta DYMM Raja Permaisuri Agong dipanjangkan usia, mendapat keberkatan hidup dan mentadbir negara dengan dilimpahi rahmat dan keberkatan.









DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua


Dewan Pemuda PAS Malaysia


Terima kasih telah membaca' sila tinggalkan komen.

Dewan Pemuda PAS Tawau © DPPKT Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau,TB 322, Tingkat 3, Blok 38 Jln. St.Patrick, Kompleks Fajar,PS.62040 91030, Tawau Sabah Tel: 089-760214.

KEMBALI KEATAS