[harga+minyak.jpg]

Jumaat, April 15, 2011

Untuk Pengundi Sarawak: Berubah ke arah Sarawak Baru, undilah calon Pakatan Rakyat

SERUAN YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT UNTUK PENGUNDI SARAWAK
Assalamu’alaikum dan salam sejahtera.
Menemui sekalian pengundi Sarawak budiman. Semoga kita semua berada dalam rahmat Tuhan dan bersedia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi pilihan raya ke-10 Negeri Sarawak.
Sesungguhnya Tuhan telah memberi ingatan kepada kita semua:
Maksudnya: “Pada hari manusia akan keluar berselerak untuk diperlihatkan kepada mereka setiap amalan mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (surah Al-Zalzalah, ayat 6-8).
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (surah Az-Zariyat ayat 56)
Justeru mematuhi ingatan Allah ini, kita hendaklah melakukan sesuatu itu dengan niat beribadat, kerana ibadat itu akan mendapat pahala. Pahala pula adalah bekalan untuk kita hidup aman-sejahtera selepas kita mati (berada di akhirat) nanti.
Begitu pula kita kena hendaklah percaya, apabila mengundi itu diniatkan sebagai ibadat, maka ia sama juga dengan sembahyang. Apa yang kita dapat dari sembahyang adalah pahala. Maka mengundi itu juga kita akan dapat pahala. Pahala adalah umpama duit yang yang boleh berjual-beli ketika di alam akhirat (hidup selepas mati).
Apa yang penting, kita hendaklah mengundi calon dan parti yang membawa kebaikan dan membela nasib kita untuk hidup aman-sejahtera.
Sesungguhnya calon Pakatan Rakyat, sama ada dari PAS, DAP dan KeADILan adalah terdiri daripada mereka yang layak untuk dipilih. Ini kerana semua mereka memiliki kesungguhan dan sedia membela nasib dan hak kita semua.
Yakinlah, mengundi seorang calon yang layak, pastinya akan dapat berkhidmat dengan baik kepada kita semua. Ia adalah satu amal ibadat yang mulia, dan pasti mendapat restu Tuhan ke arah mencapai hidup yang aman-sejahtera.
Oleh itu, saya berharap agar kita semua dapat melakukan perubahan ke arah membina Sarawak Baru yang menjanjikan keadilan dan kesejahteraan untuk semua rakyat.
Terima kasih dan tahniah kerana mengundi calon Pakatan Rakyat––PAS, DAP dan KeADILan.
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan
Al-Mursyidul Am PAS
9 Jamadil Awal 1432H/12 April 2011M

Rayuan kepada rakyat Sarawak

Saya percaya bahawa sudah tiba masanya untuk seluruh pengundi di Sarawak, yang mengandungi berbagai resam budaya dan etnik, agama, untuk bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat bagi melakukan satu perubahan yang jelas dalam pilihan raya kali ini dengan satu mesej yang paling jelas, iaitu : Marilah Kita Berubah Dengan Menolak Barisan Nasional (BN) Dalam Pilihan Raya Kali Ini.

Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekalian lama. 

Janji dan rasuah politik oleh BN sepanjang tempoh pilihan raya ini akan terus diulang-ulang oleh pemimpin BN untuk mereka mengekalkan kuasa dan seterusnya mengumpulkan kekayaan untuk diri mereka sendiri. 

Akhirnya nasib rakyat masih tidak berubah sejak puluhan tahun ini.  PAS akan memastikan konsep Federalisma terus dipelihara, dan perpaduan kaum akan menjadi keutamaan di negeri Sarawak ini.

PAS merayu kepada pengundi di Sarawak untuk memilih calon dari PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini.  PAS akan memastikan wakil rakyat dari PAS nanti akan berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat, membawa aduan dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk melakukan sau perubahan bersama rakyat Sarawak.

Sekiranya menang di DUN Beting Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau dalam pilihanraya kali ini, PAS akan memastikan kawasan ini dibela dengan menjadikan DUN ini sebagai kawasan contoh di Malaysia, di mana seluruh petugas PAS akan menyumbang tenaga secara langsung di sini nanti. 

Di sinilah nanti PAS akan menunjukkan contoh Keadilan Islam Untuk Semua Golongan di negeri Sarawak tanpa mengira anutan agama dan keturunan.  Itulah sebenarnya wajah Islam yang ingin kami bawa.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Sarawak di Persimpangan


1. Berkampung di DUN Sadong Jaya dan DUN Tanjung Datu serta beberapa tinjauan dibuat sekitar DUN Muara Tuang bermula sehari sebelum tarikh penamaan calon sehingga kelmarin [9 hb April] memberi pengalaman baru dan sangat bernilai dalam mencongak masa depan PAS khasnya pemuda PAS di Sarawak. Insyaallah 14 hb - 16 hb April ini, saya dan rakan - rakan exco DPP Malaysia akan ke DUN Beting Maro sebagai DUN yang paling berpotensi untuk dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya umum Sarawak bagi edisi ke 10 ini.

2. Masih saya ingat sekitar lebih 10 tahun yang lalu, bersama Yb. Datuk Wan Rahim dan rakan - rakan yang lain memulakan gerakan dakwah dan membawa risalah perjuangan Islam dengan wadah Parti Islam Se Malaysia [PAS] ke Beting Maro, kini benih yang telah ditanam telah mula berbunga dan dijangka tidak lama lagi akan membuahkan hasilnya Insyaallah. Begitu juga beberapa kawasan lain seperti Sadong Jaya dan Sebuyau. Jika sesuai dengan iklimnya, saya percaya benih yang ditanam kian subur dan bakal membuahkan hasil pada suatu masa kelak.Handsome Boy adalah antara bunga yang sedang mekar di Beting Maro.

3. Biarpun bergerak agak perlahan berbanding perubahan politik yang digerakkan oleh rakan - rakan Pakatan Rakyat yang lain di Sarawak dewasa kini, saya positif malah optimis bahawa PAS jua akan diterima dengan baik pada suatu masa kelak oleh rakyat di negeri Sarawak. Wajar diinsafi bahawa perjuangan PAS tidak sekadar menatang perubahan politik dan mengapung isu semasa sebaliknya PAS hadhir dengan cita - cita perjuangan Islam untuk :
  • membetulkan aqidah,
  • memurnikan akhlak dan
  • menjernihkan pemikiran ummat manusia .
4. Kekuatan PAS terletak kepada sejauh mana anggota dan penyokongnya memahami dasar perjuangannya iaitu Islam. Tanpa memahami Islam, agak sukar untuk mereka menyertai dan mendokong perjuangan PAS. Keadaan ini hanya memungkinkan PAS meraih simpati dari mereka yang mengikuti jatuh bangun dan suka duka perjuangan PAS lalu dinyatakan kebersamaan mereka dengan penuh simpati sementara mereka juga turut menentang musuh yang sama.

5. Justeru itu, agar PAS tidak hanya disertai oleh simpatisan maka pemimpin dan anggota PAS selayaknya bekerja keras untuk menyampaikan risalah Islam dan memahamkan masyarakat kenapa mereka wajar menerima perjuangan Islam. Menyedari kemajmukan masyarakat di Sarawak yang tentunya terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan agama, pemimpin dan anggota PAS sekali lagi mesti hadhir dengan :
  • hikmah yang tinggi,
  • pendekatan yang unik dan
  • kegigihan yang maksimum.
6. Bermula dengan kebajikan, menyantuni kemajmukan mereka serta memperjuangkan hak merekaseperti hak pemilikan tanah yang sememangnya menjadi sebahagian dari agenda Islam, mungkin menjadi pintu masuk utama ke laman hati nurani mereka agar mereka sedia menerima perjuangan PAS. Sementara penyertaan PAS di beberapa DUN dalam pilihanraya umum peringkat negeri Sarawak, [sekalipun berdepan dengan kekalahan teruk] lebih memperkenalkan PAS kepada masyarakat tempatan mengenai simbol, lambang, bendera, pemimpin, pejuang, aktivis, budaya kerja dan segalanya berkait dengan PAS.

7. Sepuluh atau lima belas tahun yang lalu, mereka sinis dengan lambang PAS. Ada yang kata PAS adalah parti ping pong dengan menganggap lambang bulan purnama itu adalah bola ping pong. Malah ada yang mengatakan PAS adalah parti Jepang Hijau sehingga mereka benci untuk menjulangnya. Tidak kurang juga pemimpin kita dikejar dengan parang, diherdik dan dimaki hamun. Jika lambang PAS pun mereka keliru, bagaimana mereka mahu memahami prinsip dan dasar perjuangan PAS. Begitulah realiti sebuah pengalaman yang dilalui oleh PAS di Sarawak. Namun keadaan kini semakin baik dan memberangsangkan.

8. Saya tidak jangka secepat itu masyarakat Sarawak menerima PAS memandangkan sejarah panjang dan getir yang dilalui oleh PAS di semenanjung dan juga Gerakan Islam di seluruh dunia sememangnya menjadi bukti bahawa tabiat perjuangan Islam ini terhenti sekurang - kurang di atas 5 nokhtah :
  • jauh destinasi
  • sukar pergerakkan
  • diancam penjara
  • dibunuh syahid
  • dibuang daerah
9.  Nokhtah - nokhtah inilah yang terpaksa ditempuh oleh pejuang - pejuang Islam sebagai tribulasi disepanjang jalan sebelum mereka benar - benar teruji dan layak menerima anugerah kemenangan.Tiada short cut untuk menggapai kemenangan sebagaimana tiada jalan mudah untuk meraihkan kejayaanKesabaran yang mantap, keyakinan yang tinggi dan munajat yang berterusan akan mendorong nusrah [pertolongan] dari Allah Azza wa Jalla.

10. Sarawak kini dipersimpangan. Ke kanan adalah jalan yang lurus dan benar. Menuju perubahan yang total melibatkan dasar dan sistem. Bukan sahaja berkait dasar dan sistem pentadbiran atau pemerintahan, tetapi jauh lebih penting ialah dasar dan sistem kehidupan sebagai hamba Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta segala makhlukNya. Sementara ke kiri adalah jalan buntu dan keliru. Menjerumuskan rakyat ke lembah yang serba mundur. Bukan sahaja mundur dari sudut taraf hidup dan sosio budaya tetapi juga mundur perkembangan spiritual dan minda. Situasi ini dinilai setelah lebih 40 tahun rakyat memberi mandat kepada BN di Sarawak. Kini Masa Untuk Berubah.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Terima kasih telah membaca' sila tinggalkan komen.

Dewan Pemuda PAS Tawau © DPPKT Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau,TB 322, Tingkat 3, Blok 38 Jln. St.Patrick, Kompleks Fajar,PS.62040 91030, Tawau Sabah Tel: 089-760214.

KEMBALI KEATAS